Foto hiasan
Foto hiasan
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Seramai 35 pelajar Maktab Mahmud Baling dikesan positif Covid-19 menyebabkan pusat pendidikan itu terpaksa ditutup sejak 18 April lalu hingga 25 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Datuk Najmi Ahmad berkata, kesemua pelajar yang positif kini sedang dikuarantin dan berada di dalam pengawasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling.

"Kesemua kes positif di maktab di bawah sekolah agama kerajaan negeri itu adalah membabitkan Kluster Jalan Weng dan usaha untuk mengekang penularan sedang dilaksanakan.

"Saringan kontak rapat sedang dijalankan termasuk isolasi pelajar turut dilakukan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling positif Covid-19 dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah masih lagi sedang menyiasat punca jangkitannya.

Sementara itu, Najmi berkata, seramai 29 pelajar serta tiga guru membabitkan beberapa sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri itu disahkan positif Covid-19 sejak 1 April lalu hingga semalam.

"Kes positif ini membabitkan lapan sekolah di Kulim, Kuala Muda dan Baling antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Pegang, SK Bukit Selambau dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswhati.

"Kita baharu sahaja adakan perbincangan bersama Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang mahu usaha bersepadu dilakukan bagi mengekang kluster pendidikan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 9:16 PM