Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri masih menunggu aduan rasmi berhubung isu larangan laungan menggunakan pembesar suara di sebuah kawasan perumahan di Puncak Alam dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, buat masa ini, beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

"Saya mendapat aduan itu melalui media sosial dan untuk makluman, kita ada garis panduan yang dikeluarkan pada 2017 yang mana surau dan masjid dibenarkan melaungkan azan menggunakan pembesar suara manakala dalam kuliah (ceramah), hanya dibenarkan menggunakan pembesar suara di dalam rumah ibadat saja.

"Dalam masyarakat berbilang kaum, perkara ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan perbincangan antara persatuan penduduk dan wakil rakyat.

"Apabila ia dihebahkan, ia akan menimbulkan salah faham pada orang yang tidak tinggal di kawasan terbabit.

"Kita masih menunggu aduan rasmi daripada pihak berkenaan dan saya juga sudah maklumkan kepada wakil rakyat untuk beliau membantu dalam dialog antara penduduk bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 di Aeon Mall Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Semalam, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Mohd Shaid Rosli, memandang serius isu berkenaan yang mana beliau menerima satu aduan daripada penduduk taman perumahan terbabit yang menyatakan pihak surau tidak boleh melaungkan azan menggunakan pembesar suara.

Beliau juga menggesa Mohd Zawawi dan Pengerusi Tetap Jawatankuasa Perumahan, Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail menyelesaikan perkara itu dengan segera.

Sementara itu, pada pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 KPDNHEP Selangor yang dilaksanakan sejak semalam, 156 premis diperiksa termasuk tiga pasar borong.

Mohd Zawawi berkata, setakat ini, semua peniaga mematuhi skim kawalan harga maksimum yang ditetapkan.

"Kita menjangkakan kawalan lebih ketat akan dilakukan pada minggu terakhir Ramadan," katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 5:57 PM