Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: "Jangan takut untuk ambil vaksin, sebelum cucuk (diberi suntikan), pegawai dan anggota kesihatan beri maklumat jelas dan memeriksa dahulu kesihatan, bukan main cucuk je."

Demikian kata suami isteri, Siti Isah Abdullah dan suami, Abdul Ghani Jusoh, masing-masing berusia 71 tahun selepas mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, di sini, hari ini.

Mereka antara 120 warga emas dan pesakit berisiko berbuat demikian hari ini.

Siti Isah berkata, dia dan suami secara sukarela mendaftar untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera selepas kerajaan mengumumkan pemberian vaksin percuma bagi mencegah penyakit Covid-19.

"Saya tidak percaya dengan semua (dakwaan) buruk pasal kesan vaksin, sebab kita sudah biasa dapatkan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan kawalan penyakit macam nak pergi buat umrah atau haji, kta suntik vaksin untuk cegah wabak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

"Lagipun kita ambil vaksin untuk langkah keselamatan, kena fikir positif, bukan mereka (anggota kesihatan) main cucuk je," katanya.

Menurutnya, dia menerima suntikan kerana memikirkan risiko sebagai warga emas dan mempunyai penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis, selain suaminya turut menghadapi masalah kesihatan seperti pernah diserang angin ahmar dan pendarahan dalam perut.

Ishak Mat Yunos, 72, berkata dia yang berkerusi roda akibat angin ahmar sejak enam tahun lalu, sanggup menerima suntikan vaksin bagi menjaga keselamatan ahli keluarga dan orang awam.

Katanya, walaupun keadaannya yang lumpuh sebelah badan kiri mengehadkan pergerakannya, situasi itu tidak menghalang niatnya untuk mendapatkan suntikan itu.

"Saya sendiri yang nak, tiada orang paksa saya, sebab kita tahu kalau kita tak saling bekerjasama, penyakit ini takkan hilang," katanya yang mempunyai lima anak dan sembilan cucu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab berkata, setakat ini seramai 18,000 penduduk daerah itu termasuk warga emas mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Bagaimanapun, katanya, angka itu hanya mewakili 20 peratus daripada jumlah suntikan sepatutnya mencecah 90,000 orang.

PASANGAN suami isteri, Siti Isah dan suami, Abdul Ghani memegang kad ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ selepas menerima vaksin di Dewan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Tok Bali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PASANGAN suami isteri, Siti Isah dan suami, Abdul Ghani memegang kad ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ selepas menerima vaksin di Dewan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Tok Bali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 4:09 PM