Che Ani Mat Zain.
Che Ani Mat Zain.
Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) tidak menolak kemungkinan wujud kartel dalam agensi kerajaan berkaitan yang melindungi syarikat yang membekalkan benih padi sah di negara ini.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) seharusnya mengetahui perkara berkenaan kerana syarikat pembekal benih padi sah itu dilantik kerajaan.

Jelasnya, pihaknya dimaklumkan, ketika ini ada sembilan syarikat pembekal yang bertanggungjawab membekalkan benih padi sah kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang kemudian mengedarkannya kepada petani.

"Masalah ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap musim dan Nafas hanya mengatakan benih padi sah tidak cukup kerana masalah syarikat pembekal, jika syarikat pembekal bermasalah, kenapa masih dilantik?

"Sebab itu kita percaya, berkemungkinan ada kartel dalam Mafi dan Nafas sendiri apabila syarikat pembekal tertentu masih terus dibenar membekalkan benih, walaupun bermasalah setiap musim," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Semalam, lebih 30,000 pesawah di kawasan Mada berdepan masalah kelewatan benih padi sah, sedangkan musim penanaman baharu padi bermula dua minggu lalu.

Ini berikutan pengedar tunggal benih iaitu Nafas didakwa masih gagal membekalkan benih padi sah ke kawasan Mada dan sebahagian besar skim tanaman padi di semenanjung.

Mengulas lanjut, Che Ani berkata, Nafas sepatutnya menyimpan stok benih padi sekurang-kurangnya satu musim lebih awal dan bukan hanya mengumpulkannya selepas setiap musim penanaman padi selesai.

"Seperti kami katakan sebelum ini, Nafas memang tidak ada pengalaman dalam pengeluaran dan mengurus benih padi, disebabkan itu syarikat pembekal boleh bertindak sesuka hati dan tidak ikut permintaan petani.

"Kami juga percaya stok benih padi sah ini ada disembunyi pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan atas angin kerana harganya boleh mencecah sehingga RM50 seguni di pasaran luar, berbanding harga subsidi hanya RM35," katanya.

Beliau turut mendedahkan, syarikat pembekal benih padi sah kepada Nafas turut menjual benih padi untuk tujuan komersial di seluruh negara dan ia sememangnya boleh diperoleh di kedai pembekal barangan pertanian.

"Ada banyak jenis anak benih padi di pasaran termasuk jenis MR297 dan MR219 yang dijual di kedai pertanian. Memang menjadi kebiasaan petani membelinya jika tidak mendapat bekalan mencukupi daripada Nafas.

"Disebabkan itu, timbul persoalan mengapa benih padi ini boleh dijual di kedai tetapi Nafas pula mengatakan mereka tidak mempunyai stok mencukupi," katanya.

Berikutan itu, Che Ani memohon kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai pegawai kanan Mafi, pakar pertanian dan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat serta menyelesaikan isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:16 PM