PENGAWAL Keselamatan Asis Samsudin, 41, menulis dan meletakkan notis penutupan SK Bandar Baru Sri Damansara 2, semalam, selaras dengan saranan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah bagi megekang penularan Covid-19.Sebanyak 19 sekolah di Selangor diarahkan tutup bermula ekoran kemunculan kluster pandemik Covid-19. FOTO Bernama
PENGAWAL Keselamatan Asis Samsudin, 41, menulis dan meletakkan notis penutupan SK Bandar Baru Sri Damansara 2, semalam, selaras dengan saranan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah bagi megekang penularan Covid-19.Sebanyak 19 sekolah di Selangor diarahkan tutup bermula ekoran kemunculan kluster pandemik Covid-19. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Sebanyak 83 kluster Covid-19 berkaitan sektor pendidikan dilaporkan dari 1 Jan lalu sehingga semalam, membabitkan 4,868 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan 49 kluster atau 59.04 peratus dengan 2,617 kes masih aktif, manakala 34 kluster (40.96 peratus) dengan 2,251 kes diisytiharkan tamat.

Daripada jumlah kluster berkenaan, 39 kluster dengan 1,420 kes membabitkan sub-kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan (KPM), 19 kluster dengan 1,870 kes membabitkan sub-kategori pendidikan tinggi, manakala 25 kluster dengan 1,578 kes membabitkan sub-kategori pendidikan lain.

"Bagi institusi pendidikan dengan pelaporan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga mereka, pihak pengurusan hendaklah segera memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan pencegahan dan kawalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan hasil penilaian risiko oleh PKD yang meliputi pengesanan kontak dan siasatan lanjut.

"Penutupan sementara itu bertujuan mengelak penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutnya kepada komuniti," katanya.

Beliau menjelaskan apabila PKD atau Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan atau notifikasi kejadian kes positif Covid-19 atau kluster COVID-19, pasukan kesihatan dari PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

PKD juga akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan agar pembersihan dan disinfeksi dijalankan.

Dr Adham turut mengingatkan penjagaan kesihatan am terus diamalkan di premis pendidikan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kendiri.

"Jalankan saringan demam dan gejala di pintu masuk sekolah atau premis. Mereka yang tidak sihat atau bergejala dinasihatkan mendapat rawatan dan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 5:28 PM