GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Enam penuntut Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng di sini, yang dikenakan kompaun RM1,500 oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti tular di media sosial, sudah diberikan pengurangan kompaun.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pertemuan dengan pihak pengurusan kolej dan penuntut diadakan di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran, semalam.

Menurutnya, kesemua penuntut berkenaan hadir mengemukakan rayuan dan pengurangan kompaun sudah diberikan mengikut tatacara sedia ada.

"Bagaimanapun, rayuan bagi pengurangan lanjut sudah dikemukakan oleh pihak pengurusan kolej atas alasan bahawa pelajar berkenaan adalah dari golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun dikenakan.

"Sehubungan itu, kertas siasatan terhadap isu berkenaan akan dibuka dan siasatan lanjut akan dilakukan untuk di bawa ke pertimbangan pihak pengurusan KKM.

"Teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis berkenaan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Ding berkata, pelajar terbabit dikenakan kompaun kerana pelanggaran SOP Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit di premis kolej itu pada 3.45 petang, 19 April lalu.

Menurutnya, ketika berada di lokasi berkenaan, anggota bertugas mendapati ketidakpatuhan terhadap SOP berlaku di kalangan pelajar kolej iaitu tidak memakai pelitup muka, tidak memakai pelitup muka dengan lengkap dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

"Kompaun telah dikeluarkan pada masa tersebut ke atas enam pelajar mengikut Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Kejadian ini telah dimaklumkan oleh anggota bertugas kepada pihak pengurusan kolej pada hari yang sama setelah kompaun dikeluarkan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial pelajar Kolej Matrikulasi Perak dikompaun RM1,500 oleh pegawai KKM kerana tidak memakai pelitup muka biarpun berada dalam kawasan kolej.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:40 PM