FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Perjalanan pulang seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima ke rumahnya berakhir tragedi apabila dia dilanggar sebuah lori di Jalan Sungai Air Tawar, dekat Kampung Bumi Hijau, di sini, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa berusia 17 tahun maut di lokasi akibat parah di kepala.

Pemandu lori jenis itu dan kelindannya, masing-masing berumur 40 dan 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan awal mendapati lori terbabit dalam perjalanan dari Sungai Besar menuju ke Parit Baru untuk menghantar perabot.

Beliau berkata, mangsa pula dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah menuju pulang ke rumahnya di Kampung Bumi Hijau.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa yang berada di belakang bas Smart Selangor di sebelah kanan jalan dari arah Sungai Besar melintas ke sebelah kiri jalan.

"Pada masa sama, lori itu yang berada di laluan utama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

"Berikutan kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Agus Salim berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan akan dibedah siasat sejurus keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 8:55 AM