Mohd Akmal Kamarudin
Mohd Akmal Kamarudin
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Tiada unsur penganiayaan terhadap enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng, di sini, yang dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya yakin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengurangkan kadar kompaun paling minimum terhadap pelajar terbabit.

"Kita tidak menganiayai mana-mana pihak... kita menghormati pegawai yang menjalankan untuk mengekang penularan Covid-19.

"Kepada pelajar berkenaan, jangan risau... kerajaan negeri juga prihatin dengan apa yang berlaku dan yakin pengurangan kompaun akan diberi seminimum mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Perak Tahun 2021 di Bazar Ramadan Dataran Taman Orkid, Batu Gajah, di sini, hari ini.

Mohd Akmal berkata, pelajar berkenaan masih boleh membuat rayuan bagi proses pengurangan terhadap kompaun yang dikenakan terhadap mereka.

"Saya yakin jumlah pengurangan itu mampu dibayar oleh pelajar, dan jika tidak mampu kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membantu mereka," katanya.

Katanya, setakat ini difahamkan pelajar terbabit membuat rayuan dan perkara itu dalam siasatan pihak KKM.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan Jabatan Kesihatan Perak (JKP) menjalankan siasatan berhubung aduan pelajar terbabit apabila dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya, malam tadi.

Sejak semalam, tular di media sosial pelajar Kolej Matrikulasi Perak dikompaun RM1,500 oleh pegawai KKM kerana tidak memakai pelitup muka biarpun berada dalam kawasan kolej.

Tindakan itu dipertikai kerana pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar.

Difahamkan, pihak KKM datang ke kolej berkenaan pada Ahad lalu disebabkan kes keracunan makanan di sebuah kafe di situ.

Bagaimanapun, mereka datang lagi pada keesokkannya dan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 6:30 PM