GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amir Mamat


Ayer Keroh: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua tuduhan menerima rasuah sebanyak RM6,200 dengan tujuan untuk menyelesaikan kes berkaitan daun ketum dan rokok seludup, dua tahun lalu.

Tertuduh, Kalvinderjit Singh, 34 membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan ke atasnya dibaca di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, Kalvinderjit yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didakwa menerima suapan sebanyak RM5,000 daripada Mohd Haddafi Mokhtar Ruzaini bagi menyelesaikan kes rokok seludup.

Perbuatan itu dilakukan di IPD Jasin antara jam 11.30 malam hingga 2 pagi pada 8 dan 9 Mac 2019.

Dalam pertuduhan kedua, Kalvinderjit didakwa menerima suapan sebanyak RM1,200 daripada Mohd Haddafi bagi menyelesaikan kes daun ketum pada masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stok.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 terhadap kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, usaha jurugambar untuk mendapatkan foto tertuduh tidak berhasil selepas dihalang beberapa individu, dipercayai anggota polis berpakaian biasa seolah-olah mahu melindungi wajah tertuduh daripada dirakam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan difahamkan siasatan dalaman akan dilakukan segera bagi mengesan sama ada individu berkenaan anggota polis atau sebaliknya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 1:09 PM