KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sekolah perlu meningkatkan tahap disiplin serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tinggi untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya mengakui wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa berhubung trend peningkatan jangkitan Covid-19 terutamanya membabitkan di sekolah.

"Mana-mana sekolah yang diklasifikasikan sebagai zon merah dan berlaku kes, wajar ditutup buat sementara waktu dan sesi pembelajaran secara dalam talian boleh dilaksanakan seperti sebelum ini.

"Kami juga berharap guru segera diberikan suntikan vaksin dan tidak terhad kepada kumpulan berisiko sahaja malah kepada semua warga guru kerana mereka adalah barisan depan untuk mendidik anak-anak kita.

"Untuk memastikan kelangsungan pendidikan dan tidak ada keciciran murid, aspek penguatkuasaan di sekolah, kerjasama semua pihak antara guru, sekolah serta ibu bapa penting demi keselamatan dan kesihatan murid diutamakan," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Beliau berkata, buat masa ini iGuru berharap semua pihak patuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berwajib dan semua pihak perlu memberikan kerjasama penuh untuk tujuan itu.

"Dalam hal peningkatan kluster sekolah, saya harap ibu bapa tidak merasa bimbang, apa yang penting berikan kerjasama dan kepercayaan terhadap pihak sekolah dan kita yakin KPM menyediakan pelan taktikal dalam menghadapi isu tersebut.

"Pihak iGuru juga menggesa jabatan pendidikan negeri atau daerah diberikan kuasa autonomi untuk menutup sekolah jika berlaku kes Covid-19," katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata, trend peningkatan kes Covid-19 saban hari dipercayai berpunca daripada pergerakan yang tinggi dalam kalangan rakyat termasuk penganjuran pelbagai majlis awam.

Menurutnya, peningkatan kes ini akan berlarutan selama beberapa minggu lagi.

"Ibu bapa jangan terlalu bimbang dengan keadaan ini, saya yakin pihak Kementerian Pelajaran sudah mengambil langkah perlu mengikut keadaan semasa.

"Saya juga percaya bahawa arahan untuk membuka atau menutup sesebuah kawasan bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pihak sekolah juga sudah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan dan kita turut berharap bahawa situasi pandemik ini akan pulih secepat mungkin," katanya.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (Kehormat) Che Hassan Che Johan mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan penilaian risiko setiap hari terutamanya untuk sekolah yang berada di zon jangkitan yang tinggi.

"Penilaian risiko ini sangat penting supaya kita dapat mengelakkan tercetusnya kluster baharu sekolah yang pastinya akan membimbangkan ibu bapa.

"Pada masa sama, kita juga ingin mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin dalam kalangan guru-guru supaya barisan hadapan untuk segmen pendidikan ini terus dilindungi dalam situasi yang tidak menentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 5:32 PM