Noraini (dua dari kiri) bersama keluarga di Hospital Pulau Pinang. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Noraini (dua dari kiri) bersama keluarga di Hospital Pulau Pinang. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Kali terakhir saya berbual dengannya menerusi telefon pada dua hari lalu sebelum dikejutkan dengan berita kematiannya pagi tadi," kata Noraini Jaafar, 54, ibu kepada Allahyarham Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 20.

Muhammad Iqbal, anggota Balai Polis Dato' Keramat meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan pada 1.35 pagi ketika menjalankan tugas di Jalan Utama di sini.

Noraini dari Kuala Besut, Terengganu berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan menimpa anak kedua daripada tiga beradik itu selepas mendapatkan panggilan telefon daripada sahabat Muhammad Iqbal pada 2.30 pagi.

Menurutnya, dia dan suami, Mazlan Omar, 56, bergegas ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta dan tiba ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 9 pagi.

"Ketika kali terakhir kami berbual, arwah menghantar gambar menu berbuka puasa menerusi aplikasi WhatsApp.

"Dia yang berbuka puasa seorang diri ketika itu turut menyatakan rindu dengan masakan saya selain keropok lekor yang menjadi kegemarannya," katanya ketika ditemui di HPP di sini, hari ini.

Menurut Noraini, Muhammad Iqbal adalah seorang anak yang rajin dan taat kepada ibu bapa serta tidak banyak bercakap tetapi mudah tersenyum.

Katanya, Muhammad Iqbal juga mengirimkan telekung solat warna merah kepada Noraini pada 9 April lalu.

"Kali terakhir kami bertemu ialah pada Aidilfitri tahun lalu ketika dia pulang ke kampung dan telekung berkenaan akan menjadi kenangan saya dengan Muhammad Iqbal.

"Saya selalu bergurau dengan Muhammad Iqbal mengenai badannya yang semakin berisi sejak tinggal di Pulau Pinang dan selepas ini sudah tiada gurau senda dengannya," katanya.

Noraini berkata, dia reda dan bangga dengan Muhammad Iqbal yang berbakti kepada negara pada hayatnya.

"Bapanya adalah anggota polis trafik berpangkat Sarjan di Jertih dan tidak hairanlah jika Muhammad Iqbal mengikut jejak bapanya dalam bidang kepolisan.

"Jenazah Muhammad Iqbal dijangka dikebumikan di Kampung Air Tawar, Besut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kita sedang melengkapkan laporan dan menunggu proses bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 4:54 PM