Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berusaha untuk memastikan lebih 500,000 guru di seluruh negara disenaraikan sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi fasa kedua.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sebanyak 10 peratus daripada jumlah guru itu sudah menerima suntikan vaksin pada fasa pertama ketika ini.

"Sekarang KPM tengah berusaha agar semua guru dimasukkan sebagai penerima pada fasa kedua," katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis menyerahkan sumbangan untuk lukisan karya Master Cheng Shaoru's di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini, hari ini.

Dr Mah berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan jawatankuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita sedang berusaha, ini belum menjadi satu ketetapan lagi kerana kita kena mendapat persetujuan yang ditentukan oleh jawatankuasa Mosti dan KKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 3:00 PM