Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


Ipoh: Rata-rata peniaga ayam di bandar raya ini mendakwa terpaksa menaikkan harga tinggi disebabkan tidak mempunyai pilihan akibat monopoli harga oleh pihak pembekal.

Peniaga ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 50, berkata harga ayam yang diperolehi daripada pemborong mengalami kenaikan sebanyak enam kali sejak awal bulan ini.

"Bayangkan untuk bulan ini sahaja, harga ayam naik enam kali termasuk dua kali sebelum puasa dan dimaklumkan harga bakal naik lagi esok dan menjadikan ini kali kedua harga borong naik, Ramadan ini.

"Setiap kali kenaikan adalah sebanyak 30 sen dan sehingga hari ini kita memperoleh harga kos RM7.80 sekilogram, jadi saya terpaksa menjual pada harga RM9.50 sekilogram," katanya ketika ditemui di Pasar Ayam Amanjaya Ipoh, di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang lebih 20 tahun berniaga, harga ayam naik sekali ganda berbanding musim Ramadan pada tahun sebelumnya.

"Kebiasaannya pada Ramadan sebelum ini, (harga ayam) paling tinggi pun saya jual hanya RM8.50 sekilogram sahaja, tetapi tahun ini sampai RM9.50 sekilogram.

"Jika harga pemborong berterusan naik sebegini, maka tidak mustahil boleh naik dua kali ganda dan terpaksa dijual RM10 sekilogram atau lebih.

"Kami tidak mengetahui punca kenaikan, tapi kemungkinan disebabkan pandemik Covid-19 kerana tahun sebelum tidak dapat untung sangat kerana tiada perayaan secara besar-besaran," katanya.

SALAH seorang peniaga ayam di Pasar Ayam Amanjaya Ipoh yang hanya mahu dikenali sebagai Mat menunjukkan ayam mentah yang dijual. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SALAH seorang peniaga ayam di Pasar Ayam Amanjaya Ipoh yang hanya mahu dikenali sebagai Mat menunjukkan ayam mentah yang dijual. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Katanya, walaupun harga ayam naik mendadak, tetapi peniaga hanya dapat mengambil keuntungan kira-kira RM1.40 bagi setiap kilogram ayam mentah standard.

"Bayangkan, berapa sangat kami dapat, sedangkan perlu membelanjakan keseluruhan RM450 sebulan untuk utiliti dan sewa tapak, itu belum lagi bayaran gaji pekerja," katanya.

Justeru, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil perhatian serius dan mencari penyelesaian terbaik berhubung isu kenaikan harga ayam ini.

"Tidak boleh menyalahkan peniaga semata-mata kerana kami juga tiada pilihan untuk menaikkan harga ayam apabila pemborong menaikkan harga, jadi kami berharap pihak KPDNHEP bertindak untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 5:56 PM