FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Video berdurasi kira-kira dua minit tular di media sosial, hari ini, menunjukkan seorang pelajar lelaki sekolah menengah di Taman Daya di sini, dibuli sekumpulan lelaki tidak dikenali, dipercayai kenalan kepada rakan sekolahnya.

Menerusi video berkenaan, mangsa ditampar lelaki dalam kumpulan itu berulang-kali, selain turut diugut bunuh.

Dalam kejadian itu, mangsa dilihat cuba menghalang perbuatan lelaki terbabit beberapa kali, namun gagal.

Berhubung kejadian itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang ketika dihubungi mengesahkan mangsa membabitkan pelajar sekolah menengah di Taman Daya, bagaimanapun katanya; "Tiada laporan rasmi sehingga kini."

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8 April lalu.

Menurutnya, pengadu seorang pelajar Tingkatan Dua, berusia 14 tahun bersekolah di Johor Bahru menyatakan ditampar tiga lelaki tidak dikenali.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan. Tiada tangkapan dilakukan setakat ini," katanya menerusi siaran media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 5:46 PM