GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sebanyak enam notis dikeluarkan terhadap peniaga di negeri ini yang didapati menjual air kosong sehingga RM1.50 segelas.

Notis itu dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri dalam tempoh lapan hari pemeriksaan dijalankan.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihaknya mendapati terdapat premis yang mengenakan caj untuk air kosong antara RM1 hingga RM1.50 segelas.

"Kesemua enam notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 12 premis di sekitar daerah Melaka Tengah.

"Operasi pemeriksaan dijalankan penguatkuasa KPDNHEP di bermula sejak 7 April sehingga semalam dan ia akan dilakukan secara berterusan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, peniaga atau pemilik premis yang dikeluarkan notis diberi tempoh sehingga lima hari bagi memberi maklum balas.

"Notis itu dikeluarkan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, tindakan peniaga kedai makan atau restoran yang menjual air kosong pada harga RM1 segelas dianggap melampau.

Tindakan 'cekik darah' itu dikesan KPDNHEP Selangor berikutan rungutan diterima daripada pengguna berhubung caj air kosong yang agak tinggi di premis makanan dan minuman.

Dalam pada itu, KPDNHEP mengeluarkan 84 notis untuk menjalankan siasatan terhadap peniaga yang menjual air kosong melebihi RM1 segelas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 3:52 PM