Omar Ahmad


Johor Bahru: "Saya sihat dan suka ke bazar Ramadan. Bukan beli makanan, cuma suka lihat orang ramai," kata pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentul atau nama sebenarnya Abd Rashid Yahaya.

Beliau berkata demikian pada kunjungan Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan, Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) Mohd Khirul Nizam Mat Said di kediaman Mat Sentul di Larkin di sini, hari ini.

Biarpun sudah berusia 88 tahun, Mat Sentul masih aktif dalam penulisan skrip.

Malah setiap skrip yang dihasilkannya menggunakan tulisan jawi.

Kata seniman lagenda itu yang popular melalui filem Mat Tiga Suku pada 1967, kini dia banyak menghabiskan masa di rumah dengan ditemani anaknya, Roslee Rashid, 59, selepas kehilangan isteri, Jamilah Kasri, 71, pada Disember tahun lalu.

"Saya sihat, biasalah orang tua sakit sikit, letih, tidur. Sekarang ini tidak boleh banyak keluar rumah. Saya seronok pergi bazar Ramadan, setiap petang anak bawa pergi bazar Ramadan berdekatan.

Mat Sentul masih sihat. FOTO OMAR AHMAD
Mat Sentul masih sihat. FOTO OMAR AHMAD

"Jalan kaki saja sebab dekat, tak suka pergi ketika orang ramai, sesak. Suka pergi awal, ramai yang tegur. Mereka masih ingat saya," katanya yang tidak lekang dengan topi 'koboi' yang menjadi identitinya.

Pada masa sama, menurut Roslee, bapanya sihat dan tidak pernah sakit terlantar seperti didakwa sebelum ini.

Katanya, dia kecewa dengan perkongsian kurang tepat mengenai kesihatan bapanya.

"Saya harap orang ramai berdoa dan cakap yang baik-baik mengenai abah termasuk kesihatannya.

"Abah senang diuruskan, namun memerlukan penjagaan rapi kerana suka berjalan biarpun di dalam rumah. Penglihatan abah kurang jelas tetapi masih boleh mendengar.

"Orang sudah berusia biasalah, ada masa letih dia rehat dan tidur. Saya beri perhatian lebih dalam menjaga abah, terutama daripada aspek pemakanan," katanya.

Sementara itu, Mohd Khirul Nizam menyerahkan sumbangan bantuan segera RM300 kepada Mat Sentul.

"Alhamdulillah, Mat Sentul sihat. Bagaimanapun, daripada sudut lain, kami akan cadangkan untuk beliau menerima bantuan bulanan bagi menampung perbelanjaan perubatan jika diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 1:51 PM