GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Empat kawasan masing-masing tiga di Pahang dan satu di Sabah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam ini sehingga 28 April.

Kawasan terbabit adalah Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi di Muadzam Shah, Rompin, Pahang serta Kampung Tanjung Batu Keramat, Kota Belud, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes secara kes mendadak dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di tiga lokaliti di Pahang.

"Setakat ini, KKM sudah melaksanakan 39 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 25 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes disyaki Covid-19 dan kontak rapat supaya dapat diasingkan secepat mungkin selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain luar di lokaliti berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Kampung Tanjung Batu Keramat, Ismail Sabri berkata, KKM mengesahkan sebanyak 17 kes positif direkodkan hasil daripada 25 ujian saringan terhadap penduduk.

Katanya, KKM juga memaklumkan berlaku peningkatan kes di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi serta masih terdapat empat lagi sampel ujian sedang menunggu keputusan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan itu bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal dan kontak rapat selain menyekat penularan jangkitan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 7:18 PM