Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang pegawai kanan dan tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat ditahan selepas disyaki terbabit dengan kes pemerasan terhadap pengurus kilang perabot di Batu Pahat, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata, siasatan mendapati, pengurus kilang berusia 50 tahun itu diugut untuk menyerahkan RM1,500 kepada suspek.

"Ia sebagai balasan kepada suspek untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja warga Bangladesh di kilang perabot itu yang tidak mempunyai permit.

"Bagaimanapun, pengurus kilang itu tidak dapat menyediakan amaun diminta dan suspek bersetuju menerima hanya RM1,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut beliau, selepas menerima RM1,000, suspek beredar dari lokasi tanpa mengambil tindakan terhadap pekerja asing terbabit.

"Susulan laporan polis yang dibuat pengurus kilang itu, pegawai dan anggota polis berusia 26 hingga 46 tahun ditahan. Mereka direman sehingga 9 April lalu bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan berhubung kes ini sedang dikemaskini dan kemungkinan mereka akan dituduh di mahkamah pada hujung minggu ini," katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, keempat-empat suspek dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan pemerasan dengan menjadikan kilang-kilang di Batu Pahat sebagai sasaran.

"Kesemua suspek ini menjalankan aktiviti mereka seperti pemungat cukai pintu yang pergi ke kilang-kilang untuk lakukan pemerasan. Namun kali ini, mangsa membuat laporan polis.

"Saya mohon masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat kepada saya kerana saya akan ambil tindakan. Kalau tuan-tuan laporkan kepada ketua polis daerah, tetapi tidak diambil tindakan, saya akan ambil tindakan terhadap ketua polis daerah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 2:10 PM