TAJUDDIN pada sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari
TAJUDDIN pada sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Inisiatif kerajaan menggalakkan penjawat awam berwakaf secara berkala melalui potongan gaji boleh diperluaskan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata, dari segi konsep ia satu idea yang bagus dan dialu-alukan, malah boleh diperluaskan lagi.

"(Pelaksanaan boleh diperluaskan) semua sekalilah, GLC pun milik kerajaan juga, elaun saya itu bolehlah bagi sikit, tiada masalah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara TAJ International College dan tujuh agensi kerajaan di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau berkata demikkian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penjawat awam digalakkan berwakaf secara berkala melalui khususnya, potongan gaji pada pelancaran bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan, semalam.

Perdana Menteri dipetik berkata, tindakan itu antara empat perkara utama yang digariskan bagi memastikan instrumen wakaf dapat memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi negara..

Bagaimanapun, Tajuddin berkata, ia perlu diperbincangkan dengan pihak berkaitan bagi penelitian secara lebih terperinci terhadap konsep itu.

"Ini kerana penjawat ini banyak kategori.. ada yang okay dan ada yang tak begitu okay dari segi gaji mereka itu.

"Mana yang gaji lebih itu bolehlah tetapi yang cukup-cukup makan mungkin tidak mampu, jadi mengikut kemampuan setiap pegawai penjawat awam itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 2:01 PM