Tinjauan harga barang basah seperti ayam di Pasar Besar TTDI yang dikhuatiri mengalami kenaikan berikutan bermulanya bulan Ramadan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Tinjauan harga barang basah seperti ayam di Pasar Besar TTDI yang dikhuatiri mengalami kenaikan berikutan bermulanya bulan Ramadan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Harga ayam naik mendadak dan didakwa berlaku kenaikan sehingga 30 sen setiap minggu menjelang dan awal Ramadan.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Awam Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, hari ini mendapati harga ayam RM9.50 sekilogram (kg) berbanding RM8 kg sebelum Ramadan.

Seorang peniaga ayam yang enggan dikenali berkata, kenaikan mendadak itu berikutan pembekal meletakkan harga tinggi menyebabkan peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga.

"Kita ada tanya pemborong kenapa harga ayam mahal, mereka mendakwa memperoleh harga ayam lebih tinggi daripada pihak pembekal dari ladang ayam setiap kali menjelang musim perayaan.

"Jadi kami peniaga tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi peniaga ayam di Pasar Borong Lama Selayang dikenali sebagai Samsuri berusia 60-an yang mendakwa kenaikan harga ayam hanya menguntungkan orang tengah saja.

"Kami peniaga hanya untung 20 hingga 30 sen saja, nak jual mahal-mahal kami fikir juga kasihan dengan pembeli kerana semua orang dalam keadaan susah sekarang," katanya yang sudah berniaga ayam lebih 20 tahun.

Menurutnya, dia menjual ayam pada RM8.30 sekilogram dan mengakui berlaku peningkatan mendadak berikutan sebelum Ramadan hanya RM7.10 sekilogram.

"Memang jawapan yang kami terima daripada pemborong, pihak pembekal menaikkan harga menyebabkan semua rantaian perniagaan ayam ini tidak mempunyai pilihan perlu menaikkan harga demi mendapat sedikit keuntungan.

"Kami untung tidaklah banyak berbanding pembekal yang kaya-raya, kami berharap sangat kerajaan dapat memantau dan menyelesaikan isu ini sebelum Aidilfitri," katanya.

Harian Metro cuba mendapatkan komen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 1:14 PM