Pengunjung mengambil bacaan suhu badan ketika memasuki Bazar Ramadan Taman Suria, Johor Bahru. Pengunjung dikehendaki mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pengunjung mengambil bacaan suhu badan ketika memasuki Bazar Ramadan Taman Suria, Johor Bahru. Pengunjung dikehendaki mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Hari pertama puasa menyaksikan warga bandar raya ini menyerbu bazar Ramadan menyebabkan keadaan sesak sekali gus menyukarkan penjarakan sosial dilakukan.

Tinjauan di Bazar Ramadan Taman Suria di sini, mendapati pengunjung mula datang seawal jam 4 petang mematuhi prosedur standard operasi (SOP) termasuk memakai pelitup muka, berbaris di pintu masuk dengan jarak satu meter selain memeriksa suhu badan dan mendaftar masuk aplikasi MySejahtera.

Pengunjung juga dilihat hanya dibenarkan memasuki tapak bazar secara berperingkat dan selepas kira-kira 10 pengunjung keluar dari tapak bazar.

Namun, tinjauan di dalam bazar pula mendapati situasi yang berbeza apabila orang ramai dilihat seperti terlupa dengan SOP ketika membeli dan memilih juadah.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Linda berkata, tindakan penganjur bazar melakukan kemasukan secara berperingkat adalah dipuji supaya tiada kesesakan berlaku.

"Namun, mungkin akibat ramai pengunjung teruja bazar Ramadan dibenarkan selepas setahun, sebaik masuk ke dalam tapak ada yang tidak peduli mengenai penjarakan sosial.

"Saya pun sebenarnya cemas juga bila melihat ada keluarga membawa anak kecil, bayi dan datang beramai-ramai ke bazar," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Din berkata, seharusnya orang ramai sentiasa berwaspada terutama ketika bersesak di bazar Ramadan.

"Saya dimaklumkan hanya 80 peniaga bazar dibenarkan beroperasi tahun ini berbanding 180 pada Ramadan 2019.

"Kadang-kadang penjarakan sosial sukar dilakukan terutama di gerai makanan yang mendapat perhatian, namun saya akan beli di gerai yang tidak ramai berkerumun sebagai langkah keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Bagi peniaga sotong bakar, Zaini Ali, 46, pula berkata, beliau berharap orang ramai sentiasa mengikut SOP ditetapkan termasuk melakukan penjarakan sosial.

"Kasihanlah pada peniaga kecil yang baharu hendak bernafas. Jika orang ramai tidak menjaga SOP dengan teliti saya bimbang pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:28 PM