Lima belas notis dikeluarkan KPDNHEP Pulau Pinang menerusi Op Catut 8.0 (air kosong) terhadap peniaga yang menjual air kosong pada harga melampau. FOTO IHSAN KPDNHEP
Lima belas notis dikeluarkan KPDNHEP Pulau Pinang menerusi Op Catut 8.0 (air kosong) terhadap peniaga yang menjual air kosong pada harga melampau. FOTO IHSAN KPDNHEP
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lima belas notis dikeluarkan terhadap peniaga di negeri ini yang menjual air kosong pada harga melampau sehingga melebihi RM1 segelas.

Notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang hasil pemeriksaan terhadap 35 premis perniagaan menerusi Op Catut 8.0 (air kosong) sejak 7 April hingga semalam.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, operasi membabitkan restoran mewah, makanan segera, francais, kedai makan serta warung.

"Notis dikeluarkan membabitkan Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

"Peniaga diberi tempoh lima hari bagi memberi maklum balas ke atas notis yang diterima mereka," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, berdasarkan pemeriksaan, purata harga air kosong yang dijual sekitar 50 sen segelas namun ada peniaga menjualnya melebihi RM1 segelas.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang cuba mengaut untung tidak munasabah hasil jualan air kosong.

"Pengguna disaran menyalurkan aduan atau maklumat kepada KPDNHEP jika berdepan situasi ini untuk tindakan lanjut," katanya.

Aduan dan maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri di talian 04-3840245, Pusat Arahan Penguatkuasaan (03-8882 6088/6245), talian bebas tol 1 800 886 800 dan aplikasi WhatsApp KPDNHEP (019-2794317).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 5:09 PM