SIK (dua kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam empat kenderaan di Kampung Blau Ahad lalu. FOTO Ramli Ibrahim
SIK (dua kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam empat kenderaan di Kampung Blau Ahad lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Kumpulan pengedar daun ketum dan ubat batuk dikenali 'Geng Datin' tumpas apabila satu tan daun ketum bersama 29 kotak berisi ubat batuk dirampas polis pada Ahad lalu.

Polis turut menahan tiga individu termasuk seorang wanita tempatan ketika serbuan di ladang sawit di Kampung Blau dekat sini, pada 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum itu pihaknya mengesan seorang wanita yang memandu sebuah kereta mewah melalui Jalan Gua Musang-Lojing dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pihaknya kemudiannya menahan kenderaan dipandu wanita berusia 52 tahun itu dan pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan empat kenderaan termasuk sebuah lori yang berlindung dalam ladang sawit terbabit.

Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan menemui satu tan daun ketum dan 29 kotak berisi 2,088 botol berisi cecair dipercayai ubat batuk.

"Serbuan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menahan dua lelaki berusia 24 dan 31 tahun di ladang berkenaan.

"Bagaimanapun, dua lagi lelaki yang dipercayai pemandu kenderaan sempat melarikan diri," katanya ketika sidang media di IPD Gua Muang di sini, hari ini.

Sik berkata, wanita itu yang dikenali dengan panggilan 'Datin' dipercayai adalah ketua kumpulan terbabit dan bertindak memantau operasinya.

Menurutnya, daun ketum dan ubat batuk yang dirampas itu dipercayai untuk edaran di daerah ini dan Kota Bharu, ia dibawa masuk ke negeri ini melalui Jalan Simpang Pulai-Gua Musang.

"Semua suspek itu juga tidak mempunyai permit rentas negeri dan mereka direman mulai kelmarin sehingga 15 April ini," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 2:38 PM