TOSRIN menggunakan alat khas bagi melihat anak bulan di Balai Cerap Pontian, semalam. FOTO Ihsan Tosrin Jarvanti
TOSRIN menggunakan alat khas bagi melihat anak bulan di Balai Cerap Pontian, semalam. FOTO Ihsan Tosrin Jarvanti
Omar Ahmad


Johor Bahru: Johor bakal membangunkan balai cerap termoden di Asia Tenggara yang akan dikenali sebagai Pusat Astronomi Baitul Hilal.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanti berkata, perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Katanya, kos pembinaan Pusat Astronomi Baitul Hilal itu dijangka menelan belanja RM15 juta.

"Dalam meninggikan syiar Islam, di negeri ini terdapat balai cerap bagi melihat anak bulan. Ada kewajaran Johor mempunyai satu balai cerap yang moden iaitu Pusat Astronomi Baitul Hilal.

"Kertas kerja dalam jawatan kuasa pembinaan pertama akan dibentangkan pada minggu depan. Insya-Allah awal tahun depan akan bermulanya pembinaan pusat ini.

"Pembinaan Pusat Astronomi Baitul Hilal ini dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya ketika ditemui selepas Festival Sekolah Agama Angkat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dengan kerjasama JAINJ di Yayasan Warisan Johor, di sini, semalam.

Menurut Tosrin, dalam lawatannya ke Pontian pada petang semalam bagi melihat anak bulan, beliau turut melihat tapak pusat terbabit.

Beliau yakin pembinaan Pusat Astronomi Baitul Hilal ini sebagai lambang berkembang syiar Islam di Johor.

"Selain melihat anak bulan sebelum menjelang Ramadan, pusat ini juga berperanan sebagai bahan rujukan para pelajar bagi mengkaji astronomi.

"Saya percaya ia juga akan menjadi tarikan destinasi pelancongan baru di Johor, seiring dengan lokasi Tanjung Piai yang dikenali sebagai Penghujung Selatan Benua Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 10:03 AM