GAMBAR hiasan. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
GAMBAR hiasan. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan dakwaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di seluruh negeri Kelantan mulai Rabu ini sehingga 12 Mei depan seperti ditularkan dalam media sosial.

MKN menerusi laman Facebook berkata, orang ramai diminta supaya berhenti menyebarkan berita tidak benar.

Penularan berita PKP di seluruh Kelantan menimbulkan kegusaran orang ramai memandangkan umat Islam akan menyambut Ramadan bermula esok.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri Kelantan berharap MKN akan terus mengekalkan status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu dan bukannya melaksanakan PKP.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan negeri berharap rakyat dapat membantu menukar status negeri itu daripada PKPB ke PKP Pemulihan (PKPP).

"Bagi mengekang penularan Covid-19, semua masyarakat perlu melakukan PKP pada diri sendiri. Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat berhubung keresahan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

"Namun, kegusaran kita masih tinggi, walaupun kes menunjukkan penurunan kerana masih ada kes tertangguh atau keputusan belum diterima melebihi 2,000 sampel.

"Lebih membimbangkan, sebanyak 22 peratus daripada kes positif adalah kes yang tiada 'epid link' iaitu tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster dan ini menunjukkan Covid-19 berada dalam komuniti serta 'chances' atau ruang untuk berjangkit terlalu tinggi," katanya di laman Facebook di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam masa 14 hari ini, kes jangkitan terlalu tinggi iaitu 1,029 kes dan sebanyak 24 kluster masih aktif di negeri itu.

Menurutnya, kadar penggunaan katil (BOR) di fasiliti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) melebihi 70 peratus, malah ada di antaranya melebihi 100 peratus iaitu Hospital Tumpat sebanyak 113.4 peratus; Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai (100 peratus) dan hospital daerah lain di bawah 100 peratus.

"Kelantan turut mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) yang tinggi dengan nilai RT 1.12 iaitu lebih tinggi daripada RT nasional iaitu 1.06.

"Kadar RT di Kelantan menunjukkan paras membimbangkan kerana kekal di atas paras 1.00 sejak beberapa minggu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 4:53 PM