BERNAMA

Putrajaya: Hospital swasta akan dibabitkan dalam Fasa 2 dan 3 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju dengan pembabitan hospital swasta dalam program imunisasi itu berlandaskan prinsip vaccine equity yang mana kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada semua.

Katanya, pembabitan hospital swasta itu mengambil kira cadangan dikemukakan pihak hospital swasta yang tidak mahu terkecuali dalam menggembleng tenaga bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi Covid-19 dicapai segera.

"Oleh itu, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada hospital swasta bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat," katanya dalam sidang media perkembangan program imunisasi Covid-19 bersama Menteri Penyelaras program Khairy Jamaluddin, di sini, hari ini.

Hospital swasta yang ingin mengambil bahagian boleh mendaftar melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) di laman web www.protecthealth.com.my bermula hari ini.

Dr Adham berkata, melalui laman web itu juga, hospital swasta boleh mendapatkan maklumat berkaitan kaedah vaksinasi, skop tugas, keperluan, kadar bayaran dan kaedah pembayaran.

Pada masa ini terdapat 203 hospital swasta di seluruh negara.

Pada 8 Mac lalu, KKM mengumumkan pembabitan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dalam Fasa 2 dan Fasa 3 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dr Adham Baba. FOTO NSTP
Dr Adham Baba. FOTO NSTP

Mengenai membabitan GP dalam program imunisasi itu, Dr Adham berkata, jumlah pendaftaran GP hingga semalam ialah seramai 2,304 orang.

"GP dan hospital swasta yang berdaftar akan diberikan taklimat dan latihan berkaitan skop-skop tugas dalam program imunisasi," katanya, menambah garis panduan dan manual lengkap turut diberikan sebagai rujukan dalam mengendalikan pemberian vaksin kepada kumpulan sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:50 PM