ABANG Mohammad Shibli menunjukan kadar zakat fitrah, yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak bagi Ramadhan 2021 sebanyak RM 7.00 untuk seorang di Dewan Utama Saidina Umar Al-Khattab, Ibu Pejabat Tabung Baitulmal Sarawak, Batu Kawa. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Mohammad Shibli menunjukan kadar zakat fitrah, yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak bagi Ramadhan 2021 sebanyak RM 7.00 untuk seorang di Dewan Utama Saidina Umar Al-Khattab, Ibu Pejabat Tabung Baitulmal Sarawak, Batu Kawa. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menetapkan zakat fitrah di Sarawak tahun ini pada kadar RM7 seorang.

Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, selain pembayaran menerusi amil yang dilantik, pihaknya turut menyediakan kaedah alternatif untuk memudahkan umat Islam membayar zakat fitrah pada Ramadan ini.

Beliau berkata, pembayaran secara dalam talian itu boleh dibuat menerusi Baitulmal Kamek yang boleh dilayari di portal https://pelanggan.tbs.org.my.

"Kaedah pembayaran secara alternatif itu disediakan bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah iaitu secara dalam talian dalam tempoh kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bagaimanapun, bagi yang masih mahu membuat pembayaran menerusi amil, TBS melantik seramai 790 amil di seluruh negeri," katanya pada sidang media, hari ini.

Abang Mohd Shibli berkata, amil yang dilantik menyediakan perkhidmatan di masjid dan surau serta kediaman masing-masing.

"Pembayaran menerusi amil boleh dibuat pada setiap solat waktu dan sebelum atau selepas solat tarawih," katanya.

Beliau berkata, TBS mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM95.4 juta tahun ini dengan RM90 juta daripadanya menerusi zakat harta manakala RM5.4 juta lagi menerusi zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.

"Daripada jumlah itu, kami memperuntukkan sebanyak RM81 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf," katanya.

Sementara itu, beliau menggalakkan orang ramai yang berhasrat mendapatkan bantuan TBS supaya mengemukakan permohonan menerusi aplikasi Jejak Asnaf Versi 3.0 yang boleh dimuat turun menerusi Appstore atau Playstore.

"Menerusi aplikasi berkenaan, seseorang itu juga boleh mencadangkan orang lain yang layak menerima bantuan.

"Kaedah itu diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan dengan terus memaklumkannya kepada TBS, bukan hanya memviralkannya di laman sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 2:30 PM