Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kes baharu positif Covid-19 dalam negara mencatatkan 1,739 kes dengan Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu terdapat lapan kes import membabitkan tiga warganegara dan lima bukan warganegara, manakala 1,731 lagi adalah kes tempatan.

Menurutnya, dengan jumlah terbaru itu menjadikan kumulatif kes di negara ini adalah 360,856 dengan 15,574 kes aktif.

Katanya, Selangor mencatat jumlah kes harian tertinggi dengan 535 kes direkodkan pada hari ini.

"Ia disusuli Sarawak dengan 443 kes dan Sabah (127) serta Pulau Pinang (113).

"Tiada kes dilaporkan di Perlis pada hari ini, manakala Labuan pula mencatat bilangan kes terendah iaitu empat kes," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak lapan kematian dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya adalah 1,329 kes.

Katanya, kes sembuh pula sebanyak 1,216 menjadikan jumlah kumulatif sembuh adalah 343,953 kes.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 183 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 81 kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:32 PM