Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: PAS Terengganu akan meletakkan calon di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Umno Terengganu enggan meneruskan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Husain Awang berkata, pihaknya mengambil langkah ke arah perpaduan ummah dengan tiga-tiga parti Melayu mesti bergabung bagi memenuhi keperluan perubahan landskap politik negara sekarang.

"PAS cuba menyelamatkan kuasa politik Melayu, bangsa dan agama, bukan bersikap menyelamat individu atau parti dan PAS masih bersikap serta berpendirian begitu.

"Kita cuba untuk elak tetapi kalau Umno Terengganu masih tegas dengan sikap dia maka kita bersedia.

"Jika Umno bersikap begitu jadi kita pun ambil sikap sama, 32 (kerusi DUN) pun 32 lah," katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mengatakan tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU15.

Umno Terengganu dilaporkan akan bergerak sendiri menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dan menolak kerjasama dengan PAS kerana mendakwa parti itu tidak jujur dan melanggar syarat perjanjian persefahaman (MoU) ketika penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Husain berkata, kenyataan Ahmad tidak melambangkan sikap dan pandangan Umno secara keseluruhan kerana Umno Perak sendiri mengatakan mereka mahu bekerjasama dengan PAS.

Ketika ditanya sama ada PAS akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad bagi membincangkan hubungan kedua-dua parti, Husain berkata, perkara itu bergantung kepada arahan atau keputusan daripada pimpinan pusat.

"Arahan ini sudah tentu bukan dibuat semata-mata mengukur suasana di Terengganu, tetapi mengikut kepentingan dan keperluan keseluruhan parti-parti termasuk Umno di seluruh negara," katanya.

Untuk rekod, Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen dan ketika PRU14, PAS memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN.

DATUK Husain Awang  ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV)  di Stadium Tertutup Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
DATUK Husain Awang ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di Stadium Tertutup Gong Badak. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 5:42 PM