REMAJA lelaki ditemui lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam sungai di Jalan Kampung Gajah-Teluk Sena di Kampung Gajah. FOTO Ihsan JBPM
REMAJA lelaki ditemui lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam sungai di Jalan Kampung Gajah-Teluk Sena di Kampung Gajah. FOTO Ihsan JBPM
Noor Hidayah Tanzizi

Kampung Gajah: Remaja lelaki ditemukan lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam sungai di Jalan Kampung Gajah-Teluk Sena, di sini, hari ini.

Mayat Mohd Syahir Syamsol Alam, 18, ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi motosikalnya pada 11.50 pagi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah, Megat Mohd Dahari Megat Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, motosikal mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke sungai.

"Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan air sebelum menemui mayat mangsa terapung di tepi tebing.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 3:57 PM