GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sembilan lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan enam tempat kerja dan tiga dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Industri Jalan Kebun adalah kluster tempat kerja di Daerah Klang dan Petaling di Selangor hasil saringan bersasar di Techno Industrial Park, Klang pada 7 April lalu dengan 35 kes dikesan setakat ini.

Menurutnya, Kluster Pujut Satu juga kluster tempat kerja membabitkan daerah Miri di Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-342,522) dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Mac lalu hasil saringan individu bergejala dengan 24 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Bandar Baru Kubang Kerian juga kluster tempat kerja di daerah Tumpat, Bachok, dan Kota Bharu di Kelantan dengan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-354,429) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 April hasil saringan individu bergejala di sebuah institusi kewangan dengan 34 kes dikesan setakat ini.

"Satu lagi kluster tempat kerja adalah Jalan Tun Ismail membabitkan daerah Kepong, Titiwangsa, dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Petaling di Selangor membabitkan kakitangan sebuah perkhidmatan awam dengan 15 kes dikesan setakat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster tempat kerja lain adalah Jalan Kempas Satu membabitkan daerah Muar di Johor yang mana kes terdiri pekerja sebuah kilang perabot dengan lapan kes dikesan setakat ini.

"Kluster Jalan Padu Industri juga kluster tempat kerja di daerah Johor Bahru di Johor membabitkan pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Padu, Kawasan Perindustrian, Johor Bahru dengan 15 kes dikesan setakat ini.

"Kluster dalam komuniti pula adalah Kampung Kelanang di daerah Kuala Langat di Selangor dengan 12 kes dikesan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, Kluster Jalan Kapitan juga kluster komuniti di daerah Marudi di Sarawak dengan 22 kes dikesan setakat ini.

"Kluster terakhir dalam komuniti hari ini adalah Kampung Tanjung di daerah Kuala Nerus dan Dungun di Terengganu serta daerah Pasir Puteh di Kelantan dengan 13 dikesan setakat ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:40 PM