GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias.
GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tiga lokaliti di Sarawak dan dua lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 menular ke lokaliti dan komuniti lain.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dikenakan di sembilan Rumah Panjang Sungai Duan di Bahagian Mukah, Sarawak.

Katanya, ia membabitkan Rumah Panjang Subing anak Jabo/Stevenson anak Ebek; Rumah Panjang Dingun anak Tidih; Rumah Panjang Nyaun anak Ganai; Rumah Panjang anak Tangkun;Rumah Panjang Budin anak Majang/Migi anak Kadong; Rumah Panjang Kinseng anak Jelian; Rumah Panjang Muda anak Lunjang; Rumah Panjang Ambo anak Ayom dan Rumah Panjang Jiram anak Tang.

"Secara kumulatif sebanyak 23 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti itu sehingga semalam.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku penularan jangkitan di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti itu bermula dari 11 hingga 24 April," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, PKPD turut dilaksanakan di Politeknik Mukah, Bahagian Mukah, Sarawak berkuat kuasa tempoh sama.

Sehingga kini, katanya, KKM sudah melakukan 72 ujian saringan di Politeknik Mukah dan daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM mengesahkan kadar kebolehjangkitan di lokaliti itu adalah tinggi berikutan semua pelajar dan kakitangan bergerak bebas dalam kampus sekali gus meningkatkan risiko penularan kes.

"Pelaksanaan PKPD memudahkan KKM mengawal pergerakan serta memastikan saringan dan pengesanan dijalankan ke atas semua 1,396 penuntut dan kakitangan," katanya.

Lokaliti lain di Sarawak yang turut dikenakan PKPD ialah di Kampung Menuang Baru, Limbang.

Katanya, KKM sudah melaksanakan 165 ujian saringan di lokaliti berkenaan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 10 kes positif Covid-19 dilaporkan.

"KKM juga mengesahkan terdapat penularan kes selain kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti itu dan PKPD perlu dilaksanakan berkuat kuasa 11 sehingga 24 April untuk memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan Covid-19," katanya.

Sementara itu, beliau berkata dua lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD bermula 11 hingga 24 April ialah Kampung Muhibbah Raya, Tawau danKampung Bukit Belacon, Mukim Segama, Lahad Datu.

"KKM melaksanakan 113 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 30 kes positif Covid-19 dilaporkan di Kampung Muhibbah Raya.

"Sementara, sebanyak 543 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 26 kes positif Covid-19 dilaporkan di Kampung Bukit Belacon.

"KKM mengesahkan terdapat penularan kes selain kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di kedua-dua lokaliti itu yang menyebabkan PKPD perlu dilaksanakan sebagai tindakan kawalan dan langkah pencegahan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan perintah PKP dilaksanakan di daerah Lahad Datu, Sabah.

Sehingga kini, katanya, KKM mengesahkan sebanyak 103 kes positif direkodkan dalam tempoh 14 hari di daerah terbabit selain terdapat 49 sampel ujian saringan masih menunggu keputusan.

"Selain itu, KKM memaklumkan berlaku peningkatan mendadak kes positif harian dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah Lahad Datu berkuat kuasa 11 sehingga 24 April.

"Pelaksanaan PKP ini untuk memastikan kadar jangkitan terkawal dan tidak menular ke kawasan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:08 PM