KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa buah premis makanan dan minuman dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati penetapan harga air kosong yang ditawarkan oleh premis yang dilawati mencecah sehingga RM1 setiap gelas. FOTO IHSAN KPDNHEP
KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa buah premis makanan dan minuman dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati penetapan harga air kosong yang ditawarkan oleh premis yang dilawati mencecah sehingga RM1 setiap gelas. FOTO IHSAN KPDNHEP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Melampau! Itu antara tindakan peniaga kedai makan atau restoran yang menjual air kosong pada harga RM1 segelas.

Tindakan 'cekik darah' itu dikesan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berikutan rungutan diterima daripada pengguna berhubung caj air kosong yang agak tinggi di premis makanan dan minuman.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya melalui enam cawangan menggerakkan pegawai penguat kuasa bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan melalui Ops Catut 8.0 (Air Kosong) terhadap restoran mewah, restoran biasa, restoran makanan segera, restoran francais dan kedai makan serta warung.

"Operasi ini membabitkan sembilan daerah di seluruh Selangor bermula 7 April hingga 15 April.

"Pemeriksaan dan pemantauan ini membabitkan 200 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Selangor bagi melihat dan meninjau sama ada berlakunya manipulasi harga atau unsur-unsur pengambilan keuntungan yang tidak munasabah oleh peniaga.

"Sehingga semalam, pejabat KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis makanan dan minuman. Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati penetapan harga air kosong yang ditawarkan oleh premis yang dilawati mencecah sehingga RM1 setiap gelas," katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata, KPDNHEP Selangor mengeluarkan 12 notis terhadap peniaga-peniaga pada hari pertama Ops dilancarkan bagi membekalkan perincian harga jualan dan harga kos barangan.

"Ini bertujuan untuk siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau tidak.

"Peniaga-peniaga diberi tempoh masa selama dua hari hingga lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat yang diarahkan," katanya.

Beliau berkata, peniaga terbabit akan didenda sekiranya ada antara mereka melakukan kesalahan-kesalahan mengikut 2011, Seksyen 14(1) iaitu mengambil keuntungan yang tidak munasabah atau mencatut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 5:36 PM