Mohd Rafi Mamat


Raub: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menanam lebih 10,000 pelbagai spesies pokok balak dalam kawasan yang diceroboh di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, di sini.

Kawasan seluas 16.2 hektar itu diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengusahakan tanaman pisang, durian klon jenis Musang King dan Duri Hitam.

Pegawai PHD Raub Shahril Mohamad berkata, pihaknya mengadakan program menanam secara berperingkat hingga akhir tahun ini membabitkan sekurang-kurangnya tiga spesies pokok balak yang sesuai di kawasan berbukit itu.

Menurutnya, fasa pertama penanaman membabitkan lebih 100 pokok spesies keladan sudah dilakukan oleh kakitangan PHD Raub, program menanam seterusnya akan dilakukan selepas Aidilfitri.

Katanya, bekalan anak pokok bagi fasa pertama diterima daripada tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini, spesies lain turut akan ditanam ialah meranti dan merawan serta beberapa spesies lain.

"Proses memusnahkan pokok pisang, durian klon Musang King dan Duri Hitam masih belum selesai sepenuhnya, faktor keluasan serta bentuk muka bumi yang berbukit menyebabkan proses berkenaan memakan masa lebih panjang.

Kakitangan PHD Raub menanam pokok keladan dalam kawasan ceroboh Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Kakitangan PHD Raub menanam pokok keladan dalam kawasan ceroboh Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras. FOTO MOHD RAFI MAMAT

"Kita terpaksa melakukan proses memusnahkan pokok berkenaan secara berperingkat setiap hari, minggu depan dijangka semua 5,300 pokok pisang (4,000) dan durian klon Musang King serta Duri Hitam (1,300) selesai ditebang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kelmarin PHD Raub mengesan kegiatan pencerobohan kawasan Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras seluas 16.2 hektar untuk dijadikan kebun pokok pisang dan durian klon Musang King serta Duri Hitam berusia empat bulan.

Shahril berkata, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak di tengah Hutan Simpan Sempam, mereka seolah degil serta cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Katanya, individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini berhadapan tindakan tegas menanti mereka dibawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Sementara itu, tinjauan di kawasan terbabit mendapati selain menanam pisang dan durian pihak terbabit turut membina kolam ternakan ikan air tawar dan menanam sayur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 4:22 PM