FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu memilik sistem pemantauan rangkaian dalam setiap kementerian bagi memudahkan ancaman siber dikesan lebih awal.

Pakar keselamatan siber, Muhammad Farid Rasaly berkata, menerusi sistem berkenaan pemantauan lebih teliti dan cepat dapat dibuat sekiranya wujud aktiviti penggodaman.

Menurutnya, ancaman siber baharu boleh membawa implikasi negatif kepada keselamatan dan ketirisan hasil negara.

"Sudah tiba masanya setiap kementerian dan agensi memiliki jabatan keselamatan siber sendiri bagi memudahkan aktiviti penggodaman dikesan di peringkat awal.

"Kini, keperluan kepakaran keselamatan siber semakin meningkat kerana ia menjadi ancaman terbaharu kepada Malaysia khususnya agensi penting seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, urusan kerajaan kini menggunakan pangkalan data yang mempunyai risiko untuk digodam sehingga berlaku ancaman keselamatan dan ketirisan hasil negara.

Katanya, ada kajian menunjukkan 33 peratus aktiviti penggodaman ini dilakukan 'orang dalam' sesebuah agensi yang mungkin tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara.

Tambahnya, kelompongan pada sistem sedia ada selain kelemahan keselamatan sekuriti membolehkan pangkalan data digodam serta dimanipulasi untuk tujuan jenayah.

"Kerajaan tidak boleh bergantung kepada CyberSecurity Malaysia (CSM) sebagai agensi memantau keselamatan siber negara kerana skop ancaman kini semakin meluas.

"Jika tanggungjawab itu dapat diagihkan kepada setiap agensi ia memudahkan pemantauan dibuat dan tindakan susulan untuk menyekat aktiviti penggodaman boleh dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini mendedahkan JIM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang menggodam sistem jabatan itu sejak beberapa tahun lalu menerusi Ops Hacks.

Aktiviti jenayah itu menyebabkan 21,378 PLKS palsu kini digunakan warga asing khususnya Indonesia, Bangladesh dan Pakistan untuk bekerja secara haram di Malaysia.

Bekas kakitangan JIM bersama lelaki bergelar Datuk antara suspek ditahan dalam beberapa siri serbuan di ibu kota dan Sungai Petani, Kedah.

Menerusi operasi berkenaan juga, pihak berkuasa merampas pelbagai kenderaan dan jam mewah selain hartanah bernilai jutaan ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 5:41 PM