AHMAD Zahid (kanan) dan Anwar. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Zahid (kanan) dan Anwar. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan terdapatnya perbualan di antara beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti dalam rakaman audio yang tersebar baru-baru ini.

Beliau yang kecewa dan terkejut dengan penyebaran audio berkenaan berkata, pegawainya akan segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan, untuk mengenal pasti dalang di sebalik perkara itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu percaturan politik yang jahat dan jijik, yang mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

Ahmad Zahid berkata, sebagai Presiden Umno beliau tidak akan mencabuli dan membelakangi ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) dan Perhimpunan Agung parti itu.

Audio perbualan di antara dua individu yang dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tersebar di media sosial dan blog baru-baru ini, didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung UMNO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 1:35 PM