Zaid Salim


Kuala Terengganu: Perjanjian persefahaman antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerajaan Vietnam dijangka dapat menyelesaikan isu membabitkan pencerobohan nelayan negara berkenaan.

Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, draf perjanjian perikanan antarabangsa itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

Katanya, dengan termeterainya perjanjian ini, pihaknya percaya isu membabitkan pencerobohan nelayan Vietnam dapat diselesaikan.

"Intipati perjanjian ini membabitkan kerjasama pelbagai bidang, antaranya penguatkuasaan dan latihan.

"Kita yakin menerusi perjanjian ini, tugas penguatkuasaan menjadi lebih senang dan sebarang pencerobohan membabitkan nelayan negara berkenaan boleh dilaporkan secara terus kepada Vietnam Coast Guard," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, perjanjian perikanan antarabangsa membabitkan sempadan perairan negara itu sudah wujud antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, berikutan berlaku pertindihan tuntutan yang dibuat oleh Vietnam kepada Malaysia bersabit perkara itu ia terpaksa ditangguh sejak 2017.

"Ketika ini perkara itu disemak di peringkat akhir oleh Peguam Negara sebelum dimeterai," katanya.

Katanya, perairan negara khususnya perairan Pantai Timur menjadi sasaran nelayan Vietnam untuk mencuri hasil laut kerana negara berkenaan dikatakan kekurangan sumber laut.

"Selain jarak yang dekat antara Vietnam dan Terengganu, sumber laut berkualiti tinggi yang terdapat di perairan negeri ini juga dikatakan menjadi punca nelayan terbabit menceroboh perairan negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 5:59 PM
MOHD Zubil menunjukkan lokasi pencerobohan dan pelupusan bot nelayan Vietnam ketika lawatan ke Pejabat APMM Terengganu, hari ini. FOTO Zaid Salim
MOHD Zubil menunjukkan lokasi pencerobohan dan pelupusan bot nelayan Vietnam ketika lawatan ke Pejabat APMM Terengganu, hari ini. FOTO Zaid Salim