TAN Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman hari ini. FOTO Bernama
TAN Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman hari ini. FOTO Bernama
Johari Ibrahim


Bandar Seri Begawan: Brunei dan Malaysia hari ini mencapai kata sepakat memperkukuhkan pelbagai bidang hubungan dua hala dan serantau khususnya dalam aspek kesihatan, diplomatik dan perdagangan.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 di sini hari ini menyebut dalam aspek kesihatan, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyentuh mengenai cadangan mewujudkan diplomasi vaksin antara kedua-dua negara.

"Kerjasama itu akan menumpukan kepada tiga perkara iaitu aturan vaksin secara timbal balas membabitkan diplomat, pelajar serta ekspatriat, akses bekalan vaksin di kedua-dua negara dan pengiktirafan sijil vaksin antara kedua-dua negara yang sekali gus memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Kedua-dua pemimpin juga menyatakan komitmen mengenai keperluan kawalan keselamatan pergerakan rentas sempadan ketika pandemik Covid-19 bagi mengawal wabak.

Berikutan itu, Malaysia dan Brunei bersetuju secara dasar untuk mewujudkan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas (RGL) dengan kawalan perebakan Covid-19 untuk merangsang perniagaan penting dan lawatan rasmi antara kedua-dua negara.

"Kedua-dua pemimpin bersetuju supaya perundingan peringkat pegawai kedua-dua negara diadakan bagi merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi cadangan RGL itu," katanya.

Muhyiddin menghadap Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman tengah hari ini yang mana perbincangan empat mata antara kedua-dua pemimpin berlangsung kira-kira sejam sebelum beliau dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, diraikan dalam Majlis Persantapan Rasmi.

Selain itu, Malaysia dan Brunei juga menyatakan perhatian serius terhadap krisis di Myanmar yang turut menyebabkan banyak korban.

"Kedua-dua pemimpin meminta semua pihak mencari penyelesaian damai, mengadakan dialog yang konstruktif dan segera kembali kepada keadaan normal selaras dengan kepentingan rakyat Myanmar dan memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini," katanya.

Dalam hubungan itu, Malaysia dan Brunei mahu supaya semangat Piagam Asean dirujuk yang menekankan negara rantau ini mahu Myanmar menyelesaikan krisis dan kembali stabil.

Sultan Hassanal dan Muhyiddin juga bersetuju supaya pemimpin negara Asean mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkembangan semasa di Myanmar dan mengarahkan pegawai melakukan persediaan mesyuarat itu yang dicadang diadakan di Sekretariat Asean di Jakarta.

Dalam bidang perdagangan dua hala, Sultan Hassanal Bolkiah dan Muhyiddin turut menyentuh mengenai kepentingan pembukaan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddein yang menyambungkan daerah Brunei-Muara dan Temburong yang berupaya meningkatkan aktiviti dagang antara Brunei dan Sabah serta Sarawak.

Sementara itu, berucap pada Majlis Persantapan Rasmi sempena lawatan itu, Muhyiddin berkata, Brunei adalah negara jiran dan sahabat yang sangat penting kepada Malaysia sejak hubungan antara kedua-dua negara terjalin 37 tahun lalu dan ia semakin berkembang.

Beliau berkata, Malaysia berharap susulan lawatan rasmi itu, akan ada usaha secara bersama untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala termasuk meneroka peluang baharu dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, Malaysia juga gembira kerana Brunei bersedia menggiatkan perbincangan mengenai Laluan Hijau Timbal Balik yang mana ia berupaya merancakkan semula ekonomi kedua-dua negara.

Katanya, Malaysia juga menghargai segala bantuan yang diberikan oleh Brunei termasuk menjadi antara negara terawal menghulurkan pertolongan dengan sumbangan sebanyak 1,000 kit ujian Covid-19 pada awal serangan wabak itu sebelum ini dan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, seperti di Mesir, Kemboja, India, Arab Saudi dan Sri Lanka.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 3:16 PM