AHMAD Shafri (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Razman (kiri) selepas sidang media. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
AHMAD Shafri (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Razman (kiri) selepas sidang media. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak kini giat melaksanakan program vaksinasi rabies di Larut, Matang dan Selama bagi memastikan kawasan itu diisytihar bebas penyakit rabies tahun ini.

Pengarahnya, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, pengisytiharan itu sepatutnya pada 10 Januari lalu namun aktiviti vaksinas terganggu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, berdasarkan ketetapan Badan Kesihatan Haiwan Antarabangsa (OIE), kawasan yang diisyiharkan wabak hendaklah melaksanakan program kawalan rabies seperti pemvaksinan dan kempen kesedaran sehingga kawasan tersebut tiada kes baharu selama dua tahun dari tarikh terakhir kes dilaporkan.

"Bermula 14 Januari 2019, daerah Larut, Matang dan Selama diisytihar mengalami wabak rabies di mana terdapat empat kes dilaporkan bermula antara 4 Januari hingga 10 Januari 2019," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar Program Pemvaksinan Anti Rabies 2021 Daerah Larut Matang dan Selama di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Menurutnya lagi program pemvaksinan itu sudah pun mencapai 94 peratus daripada operasi yang dibuat di sekitar kawasan yang terbabit.

"Sebanyak 1,592 ekor anjing telah divaksin daripada 1,692 ekor anjing yang telah dibanci sekaligus melepasi 80 peratus ditetapkan OIE.

"Biarpun begitu JPV kini dalam usaha pemantauan bagi memastikan tiada lagi kes baharu dilaporkan menerusi program pemvaksinan dari rumah ke rumah dan di dua lokasi secara pandu lalu iaitu di depan pasar raya The Store Kamunting serta Taman Kamunting Timur, di sini, " katanya.

Tambahnya lagi JPV Perak juga masih meneruskan program pemvaksinan rabies di kawasan Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Thailand memandangkan negara jiran itu masih belum bebas penyakit rabies.

"Kita juga menjalankan pemantauan di kawasan perairan dengan meminta kerjasama penduduk dan nelayan tempatan kalau ada nelayan asing yang bawa anjing, lapor kepada kita untuk kita ambil tindakan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 12:55 PM