Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Keputusan sama ada menangguh atau meneruskan pemilihan parti bergantung kepada Majlis Tertinggi Umno.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilihan parti adalah berdasarkan kepada perlembagaan parti di mana ada tempoh dan syaratnya.

Menurutnya, walaupun dari segi perlembagaan sudah sampai tempohnya (pemilihan) tetapi parti juga mempunyai kuasa untuk menangguhkannya sehingga 18 bulan.

"Itu ada dalam perlembagaan parti manakala selepas tempoh tamat perlu diadakan pemilihan itu betul tetapi kuasa Majlis Tertinggi Umno juga ada sama ada untuk menangguhkan sehingga 18 bulan atau tidak.

"Keputusan tangguh atau terus mengadakan pemlihan parti bergantung kepada Majlis Tertinggi Umno... jadi kita tunggu," ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Perkhidmatan & Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri  menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021. FOTO Asyraf Hamzah

Mengulas mengenai Muafakat Nasional (MN), beliau berkata, parti itu masih lagi bersama Pas dan hubungan tetap baik malah dalam usul PAU 2020 pun ada mengenai memperkukuhkan kerjasama dengan Pas melalui MN.

"Biasanya setiap dua minggu sekali kita akan adakan mesyuarat bersama dan selepas ini akan berbincang berkaitan hubungan ini.

"Setakat ini hubungan dengan Pas baik di peringkat akar umbi dan kerjasama tetap seperti biasa... kita percaya bulan Ramadan nanti banyak program bersama akan dilaksanakan," katanya.

Katanya, tidak ada isu setakat ini dan hendak kata MN sekadar retorik juga tidak betul kerana hubungan berjalan seperti biasa.

ISMAIL Sabri (kiri) beramah mesra bersama penerima anugerah. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri (kiri) beramah mesra bersama penerima anugerah. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 1:58 PM