Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pengiktirafan tempat kelima oleh Global Competitiveness Report (GCR) Special Edition 2020 kepada Malaysia dalam penyediaan kerangka perundangan digital mencerminkan tahap keupayaan dan ketersediaan rangka kerja sistem perundangan di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengiktirafan ini mencerminkan tahap keupayaan dan ketersediaan dari segi rangka kerja sistem perundangan ke arah transformasi Malaysia menjadi negara berteraskan digital dalam semua aktiviti utama kehidupan rakyatnya.

Menurutnya, IMD World Competitiveness Center pula melaporkan bahawa Malaysia menduduki tangga ke-26 daripada 63 buah negara pada tahun 2020.

"Hasrat ini terserlah menerusi kebolehupayaan penjawat awam mengadaptasi norma baharu dalam pelaksanaan kerja dan penyampaian perkhidmatan secara digital menerusi Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang kali pertama diperkenalkan oleh kerajaan sewaktu bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

"Walaupun BDR ini satu cara bekerja yang baharu, kita patut bersyukur dan berbangga kerana berjaya mencapai semua sasaran atau indeks petunjuk prestasi utama (KPI) kerja kita mengikut perancangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Perkhidmatan & Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sejak tahun 1993 melaksanakan APC sebagai salah satu bentuk penghargaan kepada pegawai perkhidmatan awam berdasarkan prestasi pada tahun yang dinilai.

"Pemberian anugerah ini adalah antara kaedah ganjaran atau insentif, sekali gus satu bentuk motivasi kepada penjawat awam untuk meningkatkan mutu kerja dan produktiviti serta pada masa yang sama mengekalkan sahsiah peribadi mereka pada tahap yang terbaik.

"Sebagai kerajaan yang prihatin, anggota perkhidmatan awam yang juga tonggak sistem pemerintahan negara sentiasa diberikan pelbagai insentif untuk lebih maju dalam kerjaya masing-masing," katanya.

Terdahulu seramai 292 penerima APC 2020 terdiri daripada kakitangan awam Kementerian Pertahanan dan 45 penerima terdiri daripada anggota tentera.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua dari kiri) beramah mesra bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021. FOTO ASYRAF HAMZAH
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua dari kiri) beramah mesra bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021. FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 1:26 PM