Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Menteri dan timbalan menteri daripada Umno akan terus kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebenarnya tidak ada keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) yang mengarahkan menteri, menteri besar, timbalan menteri, exco dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menarik diri.

Menurutnya, dalam PAU itu usul yang diluluskan adalah usul keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk terus kekal dalam kerajaan sehingga parlimen dibubarkan.

"Kita akan terus sokong kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan apabila parlimen dibubarkan kita tidak akan bekerjasama lagi. Itu usul yang diluluskan dalam PAU 2020," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Perkhidmatan & Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) pada Ahad lalu meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Susulan keputusan itu, beberapa menteri UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya Isnin lalu difahamkan bagi membincangkan isu peletakan jawatan.

Mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul mengenai menteri yang tidak meletak jawatan sebagai pengecut, Ismail Sabri berkata, dalam Umno semua berhak bercakap dan terbuka kerana parti ini hormati pandangan setiap individu di dalam parti.

"Jadi sesiapa nak beri pandangan dan cakap silalah... tidak ada sekatan," katanya.

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021. FOTO ASYRAF HAMZAH
MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021. FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 1:04 PM