FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh kediamannya ketika melarikan diri daripada polis di Jalan Ipoh di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian itu pada 12.58 tengah hari di Flat Batu Permai, Jinjang ketika polis membuat serbuan di rumahnya.

Beliau berkata, sebelum kejadian, polis yang melakukan serbuan mendapati pintu rumahnya berkunci dan ternampak seorang lelaki melarikan diri dari ruang tamu memasuki bilik tidur.

"Selang beberapa minit kemudian, seorang wanita warga Indonesia (isteri lelaki itu) telah keluar dari bilik berkenaan dan menyerahkan kunci pintu kepada pihak polis.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu sudah tiada di dalam bilik tidur dan tiga keping cermin tingkap bilik itu telah ditanggalkan. Polis juga tidak menjumpai sebarang dadah di dalam bilik tidur berkenaan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata, pemeriksaan lanjut di ruang tamu menemukan keratan plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 0.27 gram.

"Polis meneruskan pencarian individu berkenaan serta mendapati dia sudah berada di lantai bahagian belakang bangunan berkenaan dalam keadaan terlentang dan dipercayai telah meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tujuh," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki itu warganegara Indonesia berusia lingkungan 36 tahun dan hasil pemeriksaan ke atas badannya menemukan untuk alat menghisap dadah serta sepaket dadah di dalam poket seluar suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 8:20 AM