LAWATAN studio berita pada sesi lawatan pembelajaran Maktab Ketahanan Nasional ke Sri Pentas. FOTO Rohanis Shukri
LAWATAN studio berita pada sesi lawatan pembelajaran Maktab Ketahanan Nasional ke Sri Pentas. FOTO Rohanis Shukri
Suraya Roslan

Petaling Jaya: Media Prima Berhad (MPB) menerima kunjungan hormat daripada tentera pelbagai pangkat dari Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

Komandan MKN Mejar Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, lawatan ke MPB bertujuan menerapkan pengetahuan kepada 30 pegawai kanan mereka mengenai bagaimana media berfungsi serta latihan menjawab soalan media.

"Tujuan utama kunjungan ini kerana kami percaya media penentu kepada agenda nasional.

"Kami ke sini untuk melihat sejauh mana keberkesanan media utama berikutan media sosial tumbuh seperti cendawan selepas hujan, malah merasakan dua media ini perlu diseimbangkan," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, kunjungan MKN disambut ucapan aluan daripada Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen dan Studio Primeworks Media Prima Datuk Khairul Anwar Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Ripple Seelan Paul; Ketua Pegawai Produk REV Media Group Nicholas Sagau dan Ketua Pengarang Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Kamaruddin Mape.

Pada 22 Mac lalu, pengurusan kanan MPB diketuai Syed Hussian melakukan kunjungan ke MKN di Putrajaya untuk sesi taklimat pengenalan MPB terutamanya peranan Media Prima dalam agenda dan keselamatan nasional.

Sementara itu, Iskandar Mizal berkata, MPB mengalu-alukan kedatangan pegawai kanan MKN ke MPB untuk melihat dan merasai sendiri dengan lebih dekat suasana berada di set siaran langsung dan rakaman televisyen serta radio.

"Selepas itu, rombongan akan merasai pula pengalaman berdepan kamera melalui sesi praktikal sidang media dan temubual secara langsung dikendalikan wartawan kami yang berpengalaman.

"Saya berharap kerjasama yang sedia wujud antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan khususnya MKN dapat diteruskan dan semoga sesi pada hari ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:30 PM