KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bersama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bersama barang rampasan ketika mengadakan sidang media khas mengenai rangkaian sindiket pengubahan wang haram antarabangsa di Bukit Aman. FOTO BERNAMA
KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bersama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bersama barang rampasan ketika mengadakan sidang media khas mengenai rangkaian sindiket pengubahan wang haram antarabangsa di Bukit Aman. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pengasas Winner Dynasty Group Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dipercayai melarikan diri dengan membawa 'bekalan' lapan beg yang dipenuhi wang tunai.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan awal dilakukan mendapati Nicky Liow, 33, kali terakhir dilihat di Setiawalk, Puchong, Selangor pada 20 Mac lalu.

"Kami difahamkan bahawa Nicky (Liow) melarikan diri bersama lapan beg berisi wang tunai semasa keluar dari premis berkenaan (Setiawalk).

"Walaupun dia dipercayai masih berada di dalam negara, kami tidak menolak kemungkinan bahawa Nicky akan cuba melarikan diri menggunakan jalan 'tikus'.

"Kami percaya pergerakan dia kini terbatas kerana dua adiknya sudah ditahan polis," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, siasatan juga mendapati bahawa Nicky Liow mengawal rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) di Setiawalk dengan 48 unit apartmen di bangunan berkenaan disewa oleh sindiket terbabit.

"Dia (Nicky Liow) mungkin mempunyai laluan khas bagi melarikan diri semasa keluar dari bangunan terbabit untuk mengelak ditahan.

"Maklumat diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati Nicky mempunyai wang berjumlah RM40 juta di dalam akaun milik peribadinya," katanya.

Beliau berkata, Nicky Liow mempunyai hubungan rapat dengan dua adiknya yang bergelar Datuk Seri serta Datuk masing-masing berusia 28 dan 30 tahun.

"Semakan juga mendapati Nicky mempunyai 12 rekod berkaitan kesalahan jenayah termasuk mendatangkan kecederaan, ugutan dan dadah.

"Malah, dua adiknya juga mempunyai rekod berkaitan dadah," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nicky Liow diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan V Prakash di talian 0125209767 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Berita berkaitan

Polis bocor maklumat, ambil duit perbuatan jijik - KPN

Geng Nicky tumpas, 118 individu ditahan

Tiada kelibat 'Datuk Seri' di Pulau Pinang

Kes Datuk Seri Nicky: Polis cari bekas DPP

Datuk Seri Nicky Liow belum ditahan - Ayob Khan

Polis Johor buru Datuk Seri [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 7:50 PM