Amran Hazali (dua daripada kiri) dan Ashraf Mohd Iqbar (kiri) di Lebuh Nipah, di sini, berbual mengenai kerjasama dalam beberapa program bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf dan usahawan tempatan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Amran Hazali (dua daripada kiri) dan Ashraf Mohd Iqbar (kiri) di Lebuh Nipah, di sini, berbual mengenai kerjasama dalam beberapa program bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf dan usahawan tempatan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Sebanyak 200 peluang pekerjaan ditawarkan kepada rakyat tempatan khususnya golongan terjejas akibat Covid-19 dan asnaf.

Inisiatif itu ditawarkan MDI Fortune Sdn Bhd yang turut mendapat kerjasama Zakat Pulau Pinang (ZPP) dalam mengenal pasti golongan terbabit.

Pengarah MDI Fortune Sdn Bhd Mohd Ashraf Mohd Iqbar berkata, usaha itu selaras dengan saranan kerajaan yang menggalakkan pengambilan pekerja dalam kalangan rakyat tempatan.

Menurutnya, pekerjaan yang ditawarkan setakat ini adalah di bahagian pembersihan di sektor perkilangan.

"Sehingga kini, kita sudah membantu golongan asnaf di Baling, Kedah bagi mendapatkan pekerjaan di sini dengan tawaran gaji bersih sebanyak RM2,000 sebulan selain pelbagai insentif.

"Pemberian zakat yang diterima asnaf memang tidak banyak, justeru kita beri tawaran dan peluang pekerjaan yang boleh mengubah hidup mereka selain menerima pendapatan tetap," katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Mohd Asraf menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali yang turut membincangkan beberapa kerjasama dengan syarikat terbabit bagi membantu golongan asnaf.

Menurut Mohd Asraf, kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama bagi mewujudkan program peluang kerjaya kepada asnaf dan membantu golongan usahawan.

"Dijangka seramai 1,000 pekerja berusia antara 18 hingga 50 tahun diperlukan dalam bidang itu dan program terbabit akan diadakan secara berperingkat serta diperluaskan di kawasan Lembah Klang, Johor dan Singapura.

"Dengan kerjasama ZPP juga, kita akan membantu golongan usahawan yang mahu mengembangkan perniagaan mereka," katanya lagi.

Sementara itu, Amran berkata, ZPP berbesar hati dengan usaha syarikat terbabit yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak tetapi kepada golongan asnaf.

"ZPP berperanan bagi mengenal pasti asnaf dan diharap lebih banyak syarikat atau agensi melakukan inisiatif ini demi membantu golongan terjejas.

"Pada 2020, terdapat seramai 40,000 penerima zakat di negeri ini dan kira-kira 10,000 daripadanya ialah kategori fakir dan miskin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 5:53 PM