Ahli Exco Arul Kumar menunjukkan carta tindakan penguatkuasaan JTK Negeri Sembilan terhadap majikan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Ahli Exco Arul Kumar menunjukkan carta tindakan penguatkuasaan JTK Negeri Sembilan terhadap majikan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebanyak 21 majikan di negeri ini berdepan tindakan mahkamah kerana didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J Arul Kumar berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri membuka 35 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, ia termasuk menyediakan tempat penginapan pekerja tanpa perakuan yang menjadikan kesalahan di bawah Seksyen 24 D akta berkenaan.

"Kesalahan lain ialah bangunan digunakan bagi penyediaan tempat penginapan tidak sesuai untuk kediaman manusia mengikut undang-undang bertulis seperti ditetapkan di bawah Seksyen 24 H.

"Majikan perlu memastikan penginapan untuk pekerja diperakukan dengan Perakuan Penginapan oleh JTK.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dengan penalti dikira mengikut bilangan pekerja," katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai berkata, sehingga 23 Februari lalu, sebanyak 808 majikan di seluruh negeri ini sudah diperiksa membabitkan 33,391 pekerja dengan 29,053 adalah pekerja asing manakala 4,338 pekerja tempatan.

"Di Negeri Sembilan terdapat sekitar 50,000 pekerja asing dan setakat ini lebih daripada 20,000 pekerja yang belum diperiksa," katanya.

Arul Kumar berkata, kerajaan negeri sudah mengeluarkan satu garis panduan berhubung perkara berkenaan pada 9 Disember tahun lalu untuk membantu majikan mematuhi standard minimum penyediaan penginapan berkenaan.

Menurutnya, ia menetapkan beberapa jenis bangunan yang diluluskan bagi tujuan menyediakan tempat penginapan atau penginapan berpusat pekerja terbabit.

Katanya, setiap majikan perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dulu bagi mendapatkan kebenaran penggunaan bangunan bagi tempat penginapan pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 3:50 PM