Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengingatkan pihak sekolah supaya terus memperketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, pada masa sama ibu bapa juga perlu mengingatkan anak-anak supaya menitik berat SOP sepanjang berada di sekolah.

Menurutnya, sebarang masalah berkaitan Covid-19, pihaknya akan merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapatkan sebarang pandangan dan langkah yang perlu diambil.

"Dalam konteks Covid-19, sepertimana yang saya jelaskan sekiranya berlaku apa-apa, kita merujuk kepada PKD kerana pihak berkenaan kerana mereka lebih pakar.

"Apa sahaja pandangan, kita di KPM akan mematuhi nasihat berkenaan demi keselamatan anak-anak.

"Apa yang penting, ibu bapa haruslah mengingatkan anak-anak untuk mematuhi SOP. Kami juga memberi penekanan tentang pematuhan ini kepada seluruh warga sekolah termasuklah guru-guru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis pelancaran Gerakan Masa: 'Terima Kasih Cikgu" sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 Tahun 2021 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, pihaknya mengakui ini adalah waktu sukar untuk warga KPM namun pihaknya berjaya menghadapinya dengan baik.

"Ini satu masa yang sukar, namun Alhamdulillah kita sudah melihat bagaimana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan dengan lancar apabila SOP dapat patuh dengan baik.

"Pada masa sama, kita dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan yang selamat," katanya.

Ketika ditanya mengenai jumlah guru yang mendapat suntikan vaksin Covid-19 setakat ini, Radzi berkata, beliau tidak mempunyai data lengkap.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 3:40 PM