WANITA yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. FOTO Ihsan PGA9
WANITA yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. FOTO Ihsan PGA9
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Taktik seorang tekong membawa seludup empat pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Thailand, pada waktu tengah malam tidak berhasil apabila kegiatannya itu dikesan pihak berkuasa di Kampung Kubang Kual, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggota melakukan rondaan pada 11 malam sebelum terserempak sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian menahan kereta terbabit dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum meminta pemandu warga tempatan berusia 32 tahun mengemukakan kad pengenalan diri.

"Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat empat penumpang wanita dipercayai warga Thailand berusia 31 sehingga 39 tahun, yang mana kesemuanya memiliki pasport tamat tempoh.

"Mereka mengaku masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Golok, di sini, sebelum menaiki kereta ke lokasi transit untuk bergerak ke Selangor dan Johor untuk bekerja.

"Kesemua suspek ditahan dan kereta dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Nor Azizan berkata, pihaknya turut menahan seorang tekong lelaki berusia 59 tahun dan empat Pati warga Thailand di sebuah chalet di Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, anggota menemui tekong terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Lelaki berkenaan kemudian membawa anggota ke sebuah chalet dan hasil pemeriksaan terdapat empat wanita warga Thailand berusia antara 24 hingga 37 tahun, tanpa dokumen sah dipercayai berada di situ buat sementara waktu, sebelum dihantar ke lokasi untuk bekerja.

"Anggota kemudian kesemua mereka dan dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Nor Azizan berkata kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 26J ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kesemua Pati dipercayai akan memenuhi sektor pekerjaan di Malaysia ekoran kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sektor ekonomi negara dibuka sepenuhnya mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 9:26 AM