Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) di pusat asuhan atau taman didikan kanak-kanak (tadika) bagi mengelak berlaku kes penderaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata tindakan terbabit diambil bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjaga susulan video kejadian penderaan yang tular dipercayai berlaku di sebuah tadika, semalam.

Katanya, KPWKM memandang serius isu berkenaan dan berharap tindakan tegas diambil agensi berkaitan dan pihaknya sudah dimaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan untuk kes itu.

"Ibu bapa yang terkesan atau trauma dengan insiden ini juga akan dibantu memandangkan pihak kami mempunyai khidmat pegawai pelindung dan pakar kaunseling melalui Lembaga Kaunselor Malaysia.

"Selain itu, saya sendiri setuju ibu bapa menyelidik terlebih dahulu kerana terdapat banyak laporan taska atau tadika tidak berdaftar selain pengasuh yang tiada latihan untuk menjaga kanak-kanak, kerana ia penting untuk keselamatan serta nyawa anak mereka.

"Kita juga menyeru kepada masyarakat untuk melaporkan kepada polis atau terus kepada KPWKM melalui talian Kasih 15999 jika mengetahui masalah sebegini pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera," katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas Program Malaysia Prihatin di Kompleks Tarbiyah Islamiah Chetok (KOMTIK) , di sini, hari ini

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, negeri Kelantan hanya mencatat seramai 177,125 orang berdaftar mendapatkan vaksin Covid-19 melalui MySejahtera dan berharap lebih ramai rakyat yang mendaftarkan diri.

"Program hari ini bertujuan untuk menyahut inspirasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya lebih ramai rakyat mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksin bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan sebanyak empat fasa secara percuma.

"Ia juga sebagai usaha KPWKM membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19, selain mengagihkan bakul makanan kepada kumpulan sasar yang terkesan akibat wabak ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Siti Zailah Mohd Yusoff berucap ketika hadir sempena Program Malaysia Prihatin peringkat Parlimen Rantau Panjang di Kompleks Tarbiyah Islamiah Chetok (KOMTIK), Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Siti Zailah Mohd Yusoff berucap ketika hadir sempena Program Malaysia Prihatin peringkat Parlimen Rantau Panjang di Kompleks Tarbiyah Islamiah Chetok (KOMTIK), Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 6:14 PM